KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia akan mengeratkan kerjasama dalam usaha menyuburkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat kesan pandemik COVID-19, apabila keadaan telah selamat untuk perjalanan antarabangsa, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, kedua-dua negara juga sedang bekerjasama dengan negara anggota dan gagasan ekonomi ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), Pertumbuhan Segitiga Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pembangunan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bagi tujuan itu.
"Contohnya, kami sedang bekerjasama ke arah merumuskan prosedur operasi standard (SOP) meluas ASEAN bagi memberi kemudahan kepada pelancong tanpa meminggirkan aspek penting mengenai kesihatan dan keselamatan kelompok barisan hadapan - pelancong dan petugas pelancongan.
".. juga dalam aspek penggunaan teknologi digital bagi menyokong usaha pemulihan aktiviti pelancongan dan membantu mengelakkan penularan COVID-19, mengembalikan keyakinan pelancong terhadap keselamatan dan kesihatan di destinasi pelancongan ASEAN.
"Ia menerusi komunikasi efektif, pelaksanaan Pemasaran Pelancongan ASEAN yang sistematik dan efektif, serta Pelan Promosi menerusi kolaborasi strategik dengan pemain industri pelancongan dan lain-lain pemegang taruh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan secara langsung Facebook bersama Timbalan Menteri bagi Pemasaran, Kementerian Pelancongan dan Agensi Ekonomi Kreatif Indonesia, Nia Niscaya, yang dihoskan oleh Travel Industry Network Media bagi membincangkan isu mengenai Peluang Kerjasama Pelancongan Serantau pasca COVID-19.
Nancy berkata, apabila keadaan telah selamat untuk perjalanan antarabangsa, kedua-dua negara akan bekerjasama rapat bagi membantu melancarkan pergerakan pelancong di sempadan negara masing-masing.
"Mari kita memusatkan tumpuan kepada usaha memerangi pandemik ini dan berharap keadaan akan bertambah baik supaya kita dapat membuka pintu sempadan negara secepat mungkin," katanya. – BERNAMA
Sumber : Malaysia, Indonesia eratkan kerjasama pulih industri pelancongan
0 Comments