BUTTERWORTH: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen, digesa mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi membolehkan pelbagai bantuan disalurkan kepada mereka.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hingga kini, kira-kira 70,000 veteran tentera tidak berpencen telah berdaftar dan memperoleh manfaat daripada kerajaan.
"Baru-baru ini, melalui bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan memberi sumbangan secara 'one-off' RM500 kepada veteran tidak berpencen.
"Namun, masih ada veteran tidak berpencen yang tiada berdaftar, sekali gus menyukarkan bantuan itu disalurkan," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelbagai manfaat boleh diperoleh veteran tentera tidak berpencen apabila berdaftar dengan JHEV.
"Sebagai contoh, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) memberikan latihan seperti dari segi perniagaan kepada anggota tentera bersara untuk membantu meneruskan kehidupan," katanya.
Justeru, beliau berkata, jumlah pendaftaran veteran tidak berpencen disasarkan meningkat kepada 100,000 anggota dalam masa terdekat.
Sumber : Veteran tidak berpencen digesa daftar JHEV ATM
0 Comments