STRATEGI memperkasakan kedudukan wanita di pusat pelancongan pasca-COVID-19 bukan sahaja mencerminkan perubahan dalam masyarakat, malah menjamin masa depan industri pelancongan. Di seluruh dunia, wanita merangkumi sebahagian besar pekerja industri pelancongan.
Wanita lebih cenderung menjadi usahawan pelancongan berbanding sektor ekonomi lain kerana perusahaan mereka berskala kecil, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Peranan dan komitmen wanita sangat penting dalam industri pelancongan, bukan setakat memenuhi sektor ini, malah sebagai pengguna. Apabila aktiviti pelancongan disambung semula, wanita yang terbabit dalam PKS akan membuat keputusan bagaimana pengendalian jenama harus dilakukan untuk mempergiatkan lagi pelancongan.
Sektor pelancongan akan diaktifkan semula melalui beberapa insentif cukai seperti diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Pertama, perniagaan dalam pelancongan seperti agensi, hotel dan syarikat penerbangan, akan diberi penangguhan pembayaran ansuran ke atas anggaran cukai. Kedua, cukai pelancongan dikecualikan bermula 1 Julai hingga 30 Jun 2021. Terdapat juga lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan untuk hotel hingga tarikh sama.
Pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik dilanjutkan hingga 31 Disember 2021. Perdana Menteri juga ada menyebut RM1 bilion ditawarkan PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam kelaziman baharu ini.
Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri turut menyambut baik kebenaran operasi sektor pelancongan domestik yang mampu bantu pulih ekonomi negara. 2020 sepatutnya menjadi tahun bermakna bagi industri pelancongan negara dengan kempen Visit Malaysia 2020.
Malaysia menerima lebih 26 juta pengunjung antarabangsa tahun lalu dan bilangan itu sepatutnya terus meningkat tahun ini tetapi COVID-19 menjejaskan sektor ini berbanding industri lain. Daripada hotel bajet hingga lima bintang, terpaksa menghentikan operasi hingga mengakibatkan kehilangan pekerjaan besar dalam industri ini terutama wanita. Ramai dalam kalangan mereka berpendapatan rendah, berada di bawah kontrak mengikut jam bekerja atau kontrak jangka pendek di samping berusaha menguruskan rumah tangga serta penjagaan anak-anak.
Beberapa strategi boleh diambil untuk mengurangi impak negatif COVID-19 pada wanita dalam bidang pelancongan terutama PKS. Dasar yang digubal dan disasarkan harus mengambil kira perspektif gender untuk mengatasi jurang perbezaan gender dalam sektor pelancongan.
Pertama, hubungan antara majikan dan pekerja. Dasar sesuai perlu digubal bagi mengelak kehilangan pekerjaan dalam sektor pelancongan bagi pekerja termasuk program insentif untuk pengekalan pekerjaan melalui subsidi gaji dan jaminan sosial dan pelepasan pembayaran fiskal lain.
Skim sokongan pendapatan seperti faedah pengangguran perlu diberikan. Mereka harus merangkumi sektor formal dan tidak formal dengan kumpulan kurang bernasib baik khususnya wanita harus dijaga termasuk ibu tunggal.
Kedua, akaun pekerja sendiri. Sokongan pendapatan langsung dan pemindahan wang tunai diperlukan untuk mengatasi kehilangan aktiviti penjanaan pendapatan bagi pekerja akaun sendiri, kategori merangkumi banyak wanita.
Ketiga, perusahaan pelancongan majikan. Terdapat tuntutan segera untuk mencegah penutupan dan kebankrapan perusahaan pelancongan melalui langkah dasar monetari dan fiskal. Ini termasuk meringankan batasan aliran perusahaan melalui dana sektoral, pengecualian atau penangguhan pembayaran jaminan sosial dan pembayaran fiskal, pinjaman cepat serta bersubsidi, pelonggaran peraturan kegiatan perjalanan dan pelancongan.
Keempat, pinjaman kredit khusus harus diperkenalkan untuk pengusaha pelancongan wanita dan agensi kerajaan harus memberikan keutamaan kepada perusahaan milik wanita dalam perolehan awam.
Dalam bentuk strategi jangka sederhana, krisis ekonomi pastinya menjadikan pelancongan sebagai pilihan tidak terjangkau bagi banyak pihak. Lebih-lebih lagi, langkah penjarakan sosial mungkin berlaku untuk jangka masa tidak diketahui. Ini menunjukkan perlu PKS melakukan strategi di luar reaksi segera.
Inisiatif harus dirancang untuk mempersiapkan sektor ini untuk era pasca-pemulihan. Program ini harus menggabungkan perspektif gender dan dikembangkan dengan penyertaan wanita.
Seterusnya, program pendidikan dan latihan yang dilaksanakan untuk pekerja di sektor pelancongan untuk meningkatkan kecekapan. Program pengembangan kemahiran juga diperlukan bagi usahawan untuk meningkatkan aktiviti. Bagi semua penggiat pelancongan, program latihan harus melangkaui pelancongan untuk mengurangkan pergantungan pada pelancongan dan menerajui kepelbagaian ekonomi.
Teknologi memudahkan industri pelancongan belajar, bermaklumat, membuat dan lebih maju ke hadapan. Dengan mendorong dialog lebih terbuka dan menyokong organisasi berfokus kepada wanita, perjalanan dan pelancongan dapat diutamakan apa yang benar-benar penting, meletakkan faktor manusia kembali ke sektor ini untuk mendapatkan kembali kedudukannya di hati pengguna pasca COVID-19.
Penganalisis Politik & Media Sosial, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
Sumber : Memperkasa wanita dalam pelancongan pasca COVID-19
0 Comments