Mourinho bertemu lawan sebenar

LONDON: Pengurus Tottenham, Jose Mourinho berharap akan dapat membalas dendam terhadap majikan lamanya, Manchester United, ketika Liverpool mensasarkan untuk mencatat satu lagi kemenangan bagi menghampiri gelaran Liga Perdana.

Pasukan utama England merasai sendiri bagaimana keadaan stadium tanpa pernonton dan protokol kesihatan ketat ketika Aston Villa seri tanpa jaringan berdepan Sheffield United dan Manchester City menang 3-0 mengatasi Arsenal.

Walaupun dalam suasana senyap, masih banyak pertaruhan bagi saingan Tottenham dan United awal pagi esok dalam memburu tempat ke Liga Juara-Juara.

Kedua-duanya berada di luar empat teratas berbaki sembilan perlawanan.

Bagaimanapun kedudukan kelima United sudah cukup baik bagi menjamin kepulangan ke Liga Juara-Juara sekiranya rayuan Manchester City terhadap penggantungan dua tahun dalam kejohanan Eropah gagal.

Spurs boleh menang besar selepas perintah berkurung tiga bulan.

Sebelum rehat, Mourinho mendakwa dia tidak sabar menantikan tamat musim ketika kecederaan Harry Kane, Son Heung-min, Moussa Sissoko dan Steven Bergwijn tampak akan menamatkan musim mereka.

Semua empat pemain itu kini kembali cergas dan kemenangan akan mengangkat Tottenham hanya satu mata berbanding kelab yang memecat Mourinho pada Disember 2018 itu.

"Realitinya ketika ini ialah kami berada dalam posisi yang lebih baik berbanding di mana kami sebelum ini," kata Mourinho.

"Kami boleh menggunakan Harry dan Sonny sudah kembali, pemain dengan statistik terbaik dalam aspek jaringan dan bantuan gol. Mereka memberikan kami kekuatan serangan." - AFP



Sumber : Mourinho bertemu lawan sebenar

Post a Comment

0 Comments