Sakit lutut selamatkan wanita daripada jadi tebusan

KOTA TINGGI: Sakit lutut yang dialami seorang wanita menyebabkan dia terjatuh sekali gus menyelamatkannya daripada menjadi tebusan penjenayah berusia 19 tahun, dalam kes cubaan menyamun di sebuah bank di Felda Ayer Tawar, dekat sini petang semalam.

Ratnah Ahab, 56 berkata, sejurus melepaskan anaknya Mardiah Mat Ripi, 26 yang dijadikan tebusan lebih awal, perompak itu menerpa ke arah Ratnah sambil mengacukan sabit namun wanita itu terjatuh dan tidak berupaya bangun akibat sakit lutut yang dialaminya.

Peluang itu diambil oleh pengawal keselamatan bank menembak penjenayah berkenaan menggunakan 'pump gun'.

Menceritakan detik cemas itu, Ratnah berkata ketika kejadian jam 2 petang itu, dia dan , Mardiah sedang beratur untuk urusan perbankan setelah melepasi saringan kesihatan di bank berkenaan.

"Tiba-tiba datang seorang lelaki memakai kemeja T dan bertutup muka memeluk Mardiah dari arah belakang sambil mengacukan sebilah sabit di leher anak saya.

"Saya terkejut dan masa kejadian itu, pelanggan bank hanya ada enam orang termasuk kami dua beranak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belading Baru, Telok Sengat, di sini, lewat malam tadi.

Ratnah berkata, sambil mengheret Mardiah, perompak itu sempat menutup pintu bank.

Ratnah, yang bekerja di Ladang Sawit Telok Sengat itu berkata, dia merayu kepada perompak itu untuk tidak mengapa-apakan dan melepaskan anaknya, malah sempat bertanya kepada suspek berkenaan mengapa berbuat demikian.

"Lelaki itu menjawab dia memerlukan RM20,000 sahaja," katanya.

Sebelum itu, perompak berkenaan mengugut untuk mencederakan Mardiah jika tuntutannya mendapatkan RM20,000 tidak dipenuhi pihak bank.

Selepas mendengar tuntutan suspek, pegawai bank serta kakitangan berusaha memasukkan wang ke dalam sebuah beg galas berwarna putih sebagaimana yang diarahkan oleh perompak terbabit.

Sejurus melepaskan Mardiah, perompak berkenan menerpa ke arah Ratnah sambil mengacukan sabit namun wanita itu terjatuh dan tidak berupaya bangun akibat sakit lutut yang dialaminya.

"Pada masa itulah, saya terdengar letupan tembakan dari arah kaunter bank. Saya nampak perompak itu rebah ke lantai dan berlumuran darah sementara seorang pelanggan lain melemparkan sabit itu jauh dari tangan perompak itu," katanya yang masih mengigil ketakutan akibat trauma.

Beliau dan anaknya turut menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi dan disahkan baik kecuali mengalami sedikit trauma akibat peristiwa berkenaan.

Sementara itu, kediaman Ratnah terus dikunjungi saudara-mara dan jiran sekampung bagi mengucapkan syukur kerana terselamat dalam kejadian rompakan terbabit.

Pada kejadian yang berlaku selama setengah jam itu, seorang lelaki berusia 19 tahun ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan menggunakan 'pump gun' ketika cuba menyamun sebuah bank serta menahan tebusan. – BERNAMA



Sumber : Sakit lutut selamatkan wanita daripada jadi tebusan

Post a Comment

0 Comments