Penyelenggaraan Seri Bendahara diluluskan Februari lalu

AYER KEROH: Kerja penyelenggaraan dan pemasangan perabot baharu di Seri Bendahara iaitu kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, yang dianggarkan berjumlah RM400,000 diluluskan Februari lalu, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ismail Abd Rahman kepada EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad, semalam.

Ketika ditemui di sini, semalam, Roslan berkata, adalah tidak wajar kesalahan diletakkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana permohonan untuk menukar beberapa perabot serta permaidani kediaman rasmi itu dibuat oleh kerajaan PH pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari.

Bagaimanapun, katanya, tidak timbul soal pembaziran wang dalam hal berkenaan kerana setiap proses penyelenggaraan aset kerajaan, termasuk Seri Bendahara dikendalikan sepenuhnya oleh JKR selepas mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan.

"Sebut harga penyelenggaraan dikeluarkan oleh JKR pada 12 Februari lalu, maknanya, ia diluluskan sebelum kerajaan PN mengambil alih pentadbiran negeri.

"Sebenarnya, tiada kena mengena pun dengan kerajaan baharu atau lama, sebaliknya tanggungjawab JKR untuk menyelenggara bangunan kerajaan bagi mengelakkan kerosakan sedia ada bertambah teruk.

"Ini bukan mengubah suai bangunan, tetapi penyelenggaraan yang dipertanggungjawabkan kepada JKR sebagai agensi pelaksana secara rutin mengikut tempoh tertentu memandangkan bangunan itu sudah menjangkau usia lebih 15 tahun," katanya.

Sehubungan itu, Roslan turut meminta pihak tertentu, terutama parti pembangkang supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan semata-mata mahu meraih simpati atau sokongan orang ramai.

"Sudah sampai masanya bangunan ini diselenggara serta dipulihkan semula bagi mengelakkan ia bertambah teruk," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai kerja menyelenggaraan kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka itu, termasuk menggantikan sofa serta permaidani baharu.

Beberapa keping gambar perabot baharu, turut dimuat naik di Facebook, dipercayai oleh syarikat pembekal perabot berkenaan.

Ketika PH mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, Adly mengambil keputusan untuk tidak mendiami Seri Bendahara kerana mendakwa kos bayaran utiliti serta penyelenggaraan terlalu tinggi, sebaliknya menjadikan rumah kerajaan di Bukit Peringgit, di sini sebagai kediaman rasminya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri ketika itu membuka Seri Bendahara untuk tatapan orang ramai untuk melihat sendiri aset kerajaan yang dibina pada tahun 2004.



Sumber : Penyelenggaraan Seri Bendahara diluluskan Februari lalu

Post a Comment

0 Comments