Tidak mudah buat pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah, 31, membuka pintu hatinya buat lelaki selepas berpisah dengan bekas suami, dua tahun lalu.
Namun, kehadiran pelakon, Niezam Zaidi, 28, mengubah sisi hidupnya sejak setahun lalu. Akhirnya, pelakon filem Mama itu meluahkan hasrat menyunting Nonny sebagai suri hidupnya, sebelum penghujung tahun ini.
Nyata, kenyataan Niezam mengejutkan Nonny, malah pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu menangis membaca pengakuan ‘teman tapi mesra’ yang mahu membawa hubungan kepada ikatan yang halal.
” Sebelum ini, Niezam pernah bertanya soal kahwin, tetapi saya buat tak tahu dan ingat hanya main-main. Cara bertanya ketika itu seperti berseloroh, jadi saya tak fikir serius.
” Niezam bertanya lagi, baru-baru ini. Apa yang saya tak sangka, dia nak minta izin dan tanya Mama untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Saya hanya mengiyakan.
” Saya tak duga, Niezam keluarkan kenyataan mahu melamar. Saya memang terkejut dan menitiskan air mata membaca kenyataannya.
Maklumkan hal ini satu Malaysia
” Tak sangka, dia berani dan bersungguh-sungguh memaklumkan hal ini satu Malaysia,” katanya kepada BH Online.
Pelakon yang menempa nama menerusi drama Istikharah Cinta itu berkata, sejujurnya, dia cukup gembira dengan apa yang dikongsi Niezam.
” Sebagai wanita, saya terharu dengan kejujuran Niezam. Tak tahu nak beri reaksi bagaimana. Saya solat sambil menangis dalam kesyukuran. Saya turut berkongsi hal ini dengan Mama.
” Akhirnya, ada lelaki yang boleh menerima saya dan status sebagai ibu tunggal. Apa yang saya inginkan, Niezam boleh sayang saya kerana Allah SWT.
” Saya nampak kesungguhannya untuk tidak mempersia-siakan saya,” katanya.
Nonny berharap, apa yang dirancang Niezam akan dipermudahkan.
” Saya mengharapkan doa yang baik. Semoga urusan kami dipermudahkan dan hubungan ini bahagia sampai ke syurga, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Niezam berhasrat untuk menyunting Nonny sebagai isteri sebelum hujung tahun ini. Cuma katanya, belum ada tarikh untuk melangsungkan hari bahagia mereka.
” Saya dan Nonny masih terikat dengan penggambaran drama Luka Di Hati Diya. Jika boleh, saya tak nak melambatkan perkara yang baik,” katanya yang mula akrab sejak setahun lalu.
” Sebelum drama Luka Di Hati Diya, kami pernah berlakon dalam telefilem Bedah Motor. Ketika itu, hubungan tak lebih daripada seorang rakan.
” Kami rapat selepas Nonny bercerai. Kami banyak berkongsi hal sama termasuk hubungan yang tak menyebelahi diri.
” Status dia sekarang pun bukan masalah bagi saya. Apa yang utama saya selesa dengannya dan hati dia sangat baik,” kata Niezam.
via 1 MIN READ
0 Comments