Mahathir sedia tamatkan kerjasama dengan PKR jika tak dicalon sebagai PM

Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk menamatkan kerjasamanya dengan PKR jika parti itu terus menentang pencalonannya bagi jawatan perdana menteri.

Dalam wawancara eksklusif dengan Sin Chew Daily, Mahathir berkata bahawa beliau akan berhenti bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sekiranya kebuntuan berhubung calon perdana menteri PH Plus tidak dapat diselesaikan.

Jelas Mahathir, beliau akan mencari jalan lain untuk menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.

Bagaimanapun, Mahathir berkata bahawa beliau akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah kerana kedua-dua parti itu menyokongnya sebagai calon perdana menteri.

“Saya tidak akan bekerjasama dengannya (Anwar) lagi kerana dia tidak mahu bekerjasama dengan saya. Saya perlu mencari cara lain untuk menjadi perdana menteri. Mungkin ada beberapa cara lain,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pembantu Mahathir berkata ia merupakan pilihan terakhir sekiranya Anwar dan PKR terus berkeras.

Mahathir berkata bahawa beliau bersedia meninggalkan PH Plus

sekiranya pilihan untuk menjadi perdana menteri selama enam bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar yang akan menjadi timbalannya dalam tempoh itu, gagal.

“Saya fikir saya akan berhenti (sekiranya tidak dicalonkan sebagai perdana menteri),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengimbas bagaimana Pakatan Harapan (PH) dan pendahulunya Pakatan Rakyat gagal membentuk kerajaan sebelum beliau dan Bersatu bergabung dengan mereka.

“Mereka telah lama berada dalam pembangkang. Sebelum saya bergabung dengan mereka, pada tahun 2008 dan 2013, mereka berusaha untuk menang tetapi mereka kalah. Mereka tidak boleh menang.

“Saya menyertai mereka pada PRU14, dan dengan sokongan orang Melayu yang cukup, kami menang.

“Mereka sangat jelas, mereka memerlukan undi Melayu untuk menang dan fikir saya boleh membawakan mereka undi Melayu kerana Bersatu adalah parti orang Melayu, dan orang Melayu tidak akan menyokong parti berbilang kaum,” katanya.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments