KUALA LUMPUR – Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan Anwar Ibrahim untuk beliau memegang jawatan menteri kanan atau mentor menteri jika Pakatan Harapan berjaya merampas semula Putrajaya kerana berdasarkan pengalamannya, tiada orang akan mendengar nasihatnya.
“Tidak, saya tidak akan terimanya,” katanya dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily hari ini.
“Apabila saya menasihat perdana menteri (Abdullah Badawi, Najib Razak atau Muhyiddin Yassin), mereka tidak pernah dengar nasihat saya.”
Mahathir berkata, perdana menteri perlu menguruskan segala-galanya dan meninggalkan warisan politik sendiri.
“Seorang perdana menteri tidak patut kata ‘saya dapat legasi saya dari Tun’,” katanya.
Anwar dalam wawancara dengan Channel NewsAsia (CNA) sebelum ini berkata, beliau sedia mempertimbangkan jawatan sebagai menteri kanan atau mentor menteri kepada Mahathir, jika PH kembali berkuasa.
Katanya, “kerajaan baru perlu komited sepenuhnya kepada pembaharuan, pembaharuan struktur”.
Terdahulu, DAP dan PAN meminta PKR kembali kepada persetujuan PH untuk menyokong mahathir sebagai perdana menteri semula kerana Anwar tidak dijangka dapat meraih sokongan majoriti di Parlimen.
Mereka berkata, presiden PKR itu kemungkinan besar hanya boleh meraih sokongan 96 ahli Parlimen dan “tarikh akhir” untuk GPS bersetuju menyokong Anwar “sudah berakhir”.
Kenyataan itu tidak diterima sesetengah pihak dalam PKR dengan seorang pemimpin dari Selangor menggesa parti itu meninggalkan DAP dan PAN.
via Wowberita
0 Comments