Selagi ada Mahathir, Anwar takkan jadi PM

Pakatan Harapan (PH) semakin bercelaru dan saling bercakaran berebut kerusi, sehingga masing-masing terpaksa menjatuhkan satu sama lain demi mencapai cita-cita tamak dengan ‘meratib’ kononnya semakin hampir ke Putrajaya.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Rashidi Haris berkata, pergolakan yang berlaku dalam PH kebelakangan ini sudah tidak lagi menzahirkan istilah ‘pakatan’ sebagai relevan, kerana jelas gabungan berkenaan tiada lagi kesepakatan antara satu sama lain.

Beliau berkata, pergolakan sesama parti gabungan bagai tiada kesudahan meskipun tampuk pemerintahan telah diganti kerajaan baharu, Perikatan Nasional (PN) – sebagai kerajaan sah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah – dengan pelantikan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Percakaran bertikam lidah melalui kelunakan bahasa tersembunyi sentiasa berlaku antara kedua tokoh (Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan dalam masa sama mereka saling berstrategi dalam mengatur langkah.

“Manakala, badut-badut yang mengelilingi mereka berdua ini tidak berputus asa mengharapkan ada sinar harapan gemilang di masa depan, padahal diperkudakan sehabis masak,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Rashidi berkata, konflik antara kedua tokoh berkenaan semakin terserlah apabila ada pihak di dalam PH menolak Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan ada juga yang membantah Anwar.

“Saling tolak menolak sudah jelas sekarang… protes memprotes sudah ada. Kita tertanya-tanya kerajaan yang seperti inikah yang kita hendak pilih sebagai kerajaan yang akan menjamin masa depan negara?

“Mereka sesama sendiri pun sudah ada cantas-mencantas, dan tidak lagi boleh duduk bersama muafakat dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil kemelut itu akan berlarutan dan sukar diselesaikan meskipun ada cadangan supaya Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara Anwar pula timbalannya.

“Perkiraan ini juga tidak akan menyenangkan pihak yang lagi satu sebab sampai bila Anwar harus beralah, setiap kali diletakkan sebagai TPM.

“Dari zaman BN sampailah sekarang, selagi ada Tun Mahathir, Anwar nampaknya akan terus kekal sebagai TPM. Kebodohan apakah ini?,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menolak cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dan kekal dengan mencalonkan Anwar.

Bagaimanapun, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mahu PH memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kerana Anwar gagal memperoleh sokongan.

Dalam kenyataan bersama, parti berkenaan berkata, Anwar hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 Ahli Parlimen sebagai perdana menteri, dan usaha menarik sokongan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya selepas tempoh dipersetujui tamat.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments