
SEREMBAN: "Tidak dinafikan selama tiga bulan tak sentuh bola di padang memang nampak berkarat. Namun Alhamdulillah, saya bersyukur kerana akhirnya kami dapat berlatih secara berpasukan," kata kapten pasukan Negeri Sembilan (NS), Norhafiz Zamani Misbah.
Skuad NS memulakan latihan hari pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, semalam selepas tiga bulan berlatih sendirian di kediaman masing-masing kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan pandemik COVID-19 sejak 18 Mac lalu.
Norhafiz akui teruja kerana dapat bertemu kembali rakan sepasukan dan berasa amat lega kerana akhirnya aktiviti bola sepak tempatan dapat diteruskan semula selepas terpaksa menyepi kira-kira tiga bulan.
"Kami rasa gembira dan teruja, walaupun pergerakan ketika latihan amat terhad kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Namun tiada halangan buat semua pemain mematuhi sepenuhnya," katanya.
Norhafiz berkata, latihan mereka hanya membabitkan 10 pemain bagi setiap sesi dan dijalankan sebanyak tiga sesi membabitkan tempoh keseluruhan selama satu jam 35 minit.
NS adalah pasukan pertama mendapat kelulusan MFL bagi menjalani latihan pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dikuatkuasakan selepas memenuhi empat syarat ditetapkan termasuk venue latihan tertutup iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sumber : Norhafiz bersyukur dapat kembali berlatih
0 Comments