Tuck mahu gantung but di Malaysia

KUALA TERENGGANU: Pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck membayangkan keinginan untuk bersara di negara ini terutama bersama pasukan yang diwakilinya ketika ini, Terengganu FC (TFC).

Menurut pemain kelahiran Halifax, England itu keserasian isterinya, Georgia Madelela dan anaknya, Ruby Sofia menetap di sini yang terkenal dengan persisiran pantai dan pulau menarik menguatkan semangatnya untuk terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Lebih membuatkan dia semakin jatuh hati dengan negeri ini adalah masyarakat di sini peramah di samping makanannya berjaya menambat hati mereka sekeluarga.

Kontrak ketua pasukan TFC berusia 32 tahun itu bakal berakhir hujung musim ini, namun dia berkeyakinan masih mampu menyumbang tenaga dan kekal relevan dalam pentas Liga M biarpun terpaksa bersaing dengan pemain yang lebih muda.

"Untuk jangka masa yang panjang, saya mahu kekal bermain di Malaysia terutama di Terengganu sehingga bersara daripada arena bola sepak.

"Saya gembira berada di negara ini, begitu juga isteri dan anak saya. Jadi tinggi harapan saya dapat beraksi selama yang boleh atau selagi khidmat saya diperlukan mana-mana pasukan," kata Tuck yang menjejak kaki di Malaysia pada 2017 dengan menyarung jersi Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu setahun kemudian yang ketika itu di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Bercakap saingan liga yang dijangka bakal kembali tidak lama lagi, pemain paling popular Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 itu akui semakin teruja untuk memulakan latihan di padang selepas selesai ujian saringan COVID-19, semalam.



Sumber : Tuck mahu gantung but di Malaysia

Post a Comment

0 Comments