GENEVA: Seorang pakar kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Beijing berjaya mengambil tindakan sewajarnya dalam mengawal kluster baharu COVID-19 di China, lapor agensi berita Xinhua.
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Michael Ryan, berkata demikian pada sidang media di Geneva.
Memberi contoh Jerman, Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh yang baik, Ryan berkata, Beijing berjaya bertindak pada skala besar, sebelum keadaan menjadi parah, termasuk daripada aspek saringan kesihatan, siasatan dan kawalan kluster kes.
"Anda dapat lihat beberapa kes berlaku dan ia kemudian menular dengan pantas atau berlaku sesuatu yang menyebabkan kes tersebar. Dan apabila ia berlaku, anda mahu mengelakkan ia dari menjangkiti seluruh komuniti," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tiada definisi khusus untuk gelombang kedua dan kewujudan kluster baharu tidak bermakna ia sudah berlaku.
"Terdapat konsep berbeza yang dialami banyak negara ketika ini, apabila mereka keluar dari gelombang pertama, tetapi berjaya mengurangkan jumlah kes, dan kemudian dilanda gelombang kedua.
Dalam erti kata lain, jangkitan di kalangan komuniti terus berlaku namun pada paras lebih rendah.
"Jadi, anda boleh lihat situasi di beberapa negara, apabila mereka boleh berdepan waktu kemuncak kedua, kerana penyakit berkenaan tidak berjaya dikawal.
"Penyakit itu akan pergi seketika, berkurangan pada paras rendah dan kemudian menjadi gelombang kedua pada musim luruh atau selepas itu," katanya. - BERNAMA
Sumber : Pakar WHO puji tindakan China kawal kluster baharu
0 Comments