Pengasas Harakah Subky Latif meninggal dunia

PETALING JAYA: Seorang ahli veteran PAS, Ahmad Subki Abdul Latif, yang juga pengasas akhbar rasmi parti Islam itu, Harakah meninggal dunia hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Subky Latif meninggal dunia di usia 80 tahun, pada 11.05 pagi tadi di rumahnya di Padang Balang, Gombak.

Subky meninggalkan seorang balu, Naznah Taha, dan 5 orang anak iaitu Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky, dan Ahmad Huzaifah.

Memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1963, anak kelahiran Setiawan, Perak ini kemudian menjadi seorang pengarang rencana dan penulis kolum, sebelum berpindah ke akhbar Watan sekitar 1977, dan kemudian mengasaskan Harakah pada 1978.

Lulusan diploma kewartawanan dari Institut Kewartawanan Antarabangsa (IIJ) di Berlin, Jerman, Subky pernah menjadi setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Abdul Razak Hussein.

Bersama PAS, Subky pernah menjadi ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dari 1983 hingga 2005. Beliau juga penah menggalas jawatan ketua penerangan PAS pada 1988, pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan pada 2007.

Di arena politik, Subky pertama kali bertanding pilihan raya pada 1979 iaitu pada pilihan raya kecil Parlimen Pelabuhan Klang menghadapi calon Barisan Nasional dari MIC, DAP, dan 4 calon Bebas lain.

Meskipun tewas, beliau memperoleh 22.95% daripada keseluruhan undi, iaitu sebanyak 7,525 daripada 32,783 undi sah.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments