
PETALING JAYA: Peniaga Pasar Besar Jalan Othman di sini terkejut, apabila kadar sewa tapak niaga di situ akan dinaikkan hampir 300 peratus.
Jika dilaksanakan, peniaga pasar terbabit berdepan kenaikan sewa daripada RM140 sebulan kepada RM400 sebulan.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar berkenaan, Anuar Abdullah, berkata berdasarkan notis pemberitahuan mengenai perkara itu kenaikan bayaran tersebut akan bermula hujung bulan ini.
"Kita mendapat makluman mengenai perkara tersebut menerusi notis yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.
"Notis itu dibuat tanpa ada sebarang perbincangan dengan pihak persatuan peniaga terlebih dahulu," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Anuar berkata, pihaknya merasakan perkara itu adalah tidak wajar kerana sangat membebankan dan pihaknya akan berjumpa dengan pihak MBPJ dalam masa terdekat.
"MBPJ sebelum ini tidak memberi ruang kepada peniaga untuk menyuarakan permasalahan yang dihadapi, keputusan menaikkan kadar sewa itu juga dibuat secara terburu-buru," katanya.
Sementara itu, peniaga ikan, Kaliappan Subramaniam, 51, berkata, langkah menaikkan kadar bayaran sewa itu sememangnya tidak tepat dengan situasi pandemik COVID-19 yang sedang berlaku ketika ini.
"Peniaga di sini berdepan dengan masalah pendapatan lebih-lebih lagi apabila masa beroperasi di pasar berkenaan dipendekkan," katanya.
Subramaniam berkata, pendapatan peniaga di pasar itu sudahlah terjejas kini ditambah pula dengan masalah untuk kami membayar sewa yang tinggi.
"Saya harap MBPJ dapat mengkaji semula langkah menaikkan harga sewaan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan sebahagian dari peniaga terbabit sudah menyampaikan rasa tidak puas hati mereka kepada Senator Datuk T. Mohan, Khamis lalu.
Mohan kemudian berjanji akan membawa segala permasalahan yang timbul kepada MBPJ, selepas mengkaji dan meneliti rasa ketidakpuashatian peniaga terbabit.
"Sebarang peraturan yang ditetapkan oleh MBPJ untuk membendung penyebaran COVID-19 sangat dialu-alukan namun, kenaikan sewa selama ini adalah sesuatu yang harus dinilai semula oleh MBPJ.
"Pasar sudah lama dan tua dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak boleh mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan sewa," katanya.
Beliau berkata, beberapa peniaga mendakwa dapur dan silinder gas mereka turut hilang sejak penutupan pasar berikutan kes COVID-19 dikesan di sana.
"Para peniaga mempersoalkan apakah proses kawalan keselamatan yang diberikan di pasar memadai dan mengatakan perlu ditingkatkan lebih jauh," katanya.
Mohan berkata, para peniaga juga mengatakan bahawa mereka memerlukan dua tahun untuk mendapatkan pekerja tempatan.
Sumber : Peniaga Pasar Jalan Othman bantah kenaikan sewa 300 peratus
0 Comments