
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap insentif geran padanan diberikan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) bagi ekonomi gig akan mendorong lebih ramai pekerja sektor berkenaan mencarum dalam i-Saraan.
Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata insiatif itu bertepatan dengan perkembangan semasa dan perubahan dalam sektor pekerjaan di negara ini akibat penularan wabak COVID-19.
"Kami maklum bahawa ramai yang memilih untuk bekerja dengan platform penghantaran makanan dan bungkusan pada masa ini. Pekerja platform gig di Malaysia, terutamanya pemandu dan pengendali penghantaran, menjadi nadi ekonomi negara pada bulan-bulan yang mencabar ini.
"Oleh kerana mereka secara teknikalnya bekerja sendiri, tiada mekanisme formal untuk mereka membuat simpanan bagi masa hadapan. Kami berharap insentif kerajaan ini akan mendorong golongan ini untuk mula menabung," katanya dalam satu kenyataan,hari ini.
Alizakri berkata, ahli yang mencarum menerusi i-Saraan akan mendapat faedah yang sama dengan ahli yang bekerja sepenuh masa selain sumbangan tambahan diberikan kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai menabung dalam program berkenaan.
i-Saraan adalah program caruman sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri.
Ciri utama kemudahan itu adalah pemberian insentif khas kerajaan sebanyak 15 peratus, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun kepada ahli di bawah umur 55 tahun yang mendaftar dan mencarum dalam program berkenaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan PENJANA hari ini, mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi menyokong rangka perlindungan sosial bagi ekonomi gig dan menggalakkan pekerja sektor berkenaan untuk menyimpan demi masa hadapan.
Sumber : PENJANA: KWSP harap lebih ramai pekerja ekonomi gig carum i-Saraan
0 Comments