PEKAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Pegawai Pengurus Pilihan raya, Datuk Zaliza Zulkipli mengumumkan senarai calon yang bertanding jam 10.30 pagi, selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, ditutup pada jam 10 pagi.
"Kita menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan," katanya di sini, hari ini.
Pada PRK itu, BN mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Shahrim Md Zain, 41, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan bagi mempertahankan kerusi DUN itu kekal milk BN.
Mohd Shahrim menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.01 pagi dan mengambil semangat Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, pencalonan calon BN disokong oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, selaku calon Bebas yang menggunakan simbol rumah menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan pada jam 9 pagi.
Pertandingan kali ini turut menyaksikan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga aktivis masyarakat mengemukakan borang penyerahan pada 9.04 pagi walaupun menjadi calon pertama yang tiba di pusat penamaan calon pada hari ini.
Pencalonan, Mohd Shukri yang juga aktivitis masyarakat menggunakan simbol kunci pada PRK DUN Chini yang disifatkan beliau sebagai simbolik untuk 'membuka sejarah' supaya penduduk setempat dapat menerima individu tanpa parti sebagai wakil rakyat.
PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.
Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.
Senarai calon ikut turutan
1. Bebas (Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin) logo Rumah
2. Bebas (Mohd Shukri Mohd Ramli) logo Kunci
3. BN (Mohd Shahrim Md Zin) logo Dacing
Sumber : Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Chini
0 Comments