Pesakit Covid-19 hanya tinggal 248 orang sahaja lagi

JUMLAH keseluruhan pesakit Covid-19 di Malaysia kini hanya tinggal 208 orang. Hari ini 40 lagi pesakit sembuh dengan jumlah keseluruhan yang telah pulih adalah seramai 8,271 orang atau 96.7 peratus.

Jumlah kes baharu Covid-19 yang dikesan sebanyak empat kes iaitu melibatkan tiga kes import yang kesemuanya warganegara Malaysia dan satu kes penularan tempatan melibatkan seorang warga asing.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan tiada kes kematian dilaporkan dengan jumlah keseluruhan kes kematian kekal seramai 121 orang.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, hari ini adalah hari ke-100 sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan negara mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RT-PCR.

Katanya, jumlah itu adalah 6 kali ganda berbanding sebelum pelaksanaan PKP 18 Mac lepas.
“KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk pesakit Covid-19.

“Walaupun 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit Covid-19, kini ia mula digunakan untuk pesakit kes lain,” katanya.

Noor Hisham berkata, begitu juga dengan mesin ventilator. Ini kerana terdapat hanya 2 kes Covid-19 yang kini menggunakan mesin tersebut.

Katanya, jumlah kes aktif Covid-19 menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4% daripada jumlah keseluruhan kes.

“Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

“Kejayaan meratakan lengkung kes Covid-19 dan juga mengurangkan penularan dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP pemulihan, masyarakat perlu memainkan peranan lebih besar dengan mematuhi sepenuhnya nasihat yang diberi dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baru,” katanya.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments