
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur meningkatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan ulat tiket bas ekspres sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP), susulan kebenaran untuk orang ramai merentas negeri menggunakan pengangkutan awam.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail, berkata perkhidmatan bas ekspres antara alternatif utama pengguna sebagai kemudahan pengangkutan untuk mereka yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri.
"Kita percaya, perkhidmatan ini mendapat sambutan selepas kerajaan membenarkan bas ekspres beroperasi dengan kapasiti penuh daripada segi jumlah penumpang.
"Ini akan menimbulkan persaingan antara syarikat bas ekpres dan secara tidak langsung akan mengundang kewujudan ulat tiket yang berperanan untuk meraih pelanggan di luar kaunter jualan tiket," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Zaki sebelum itu menyertai Operasi Khas Ulat di Perhentian Bas Jalan Duta di sini, hari ini bermula pada jam 4 pagi sehingga jam 1 tengah hari tadi.
Operasi dijayakan 15 anggota dan pegawai penguatkuasa diketuai Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa, Azlidayanty Mohd Termizi, susulan aduan awam sebelum Unit Risikan JPJ menjalankan risikan selama seminggu.
"Kita berjaya menahan seorang wanita yang juga bekerja sebagai penjual tiket bas ketika dia cuba meraih penumpang dengan menjual tiket di luar kaunter yang disediakan, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
"Tindakan wanita berusia 39 tahun itu cuba meraih penumpang di luar kaunter jualan tiket adalah satu kesalahan kerana penjualan tiket hanya dibenarkan dibuat melalui kaunter yang disediakan," katanya.
Dalam pada itu, seorang pemandu teksi turut ditahan pada jam 5 pagi dalam operasi sama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kerana dikesan cuba meraih pelanggan untuk menaiki teksinya.
"Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana perbuatannya cuba mendapatkan penumpang dengan cara menawarkan khidmat mereka kepada penumpang adalah tidak dibenarkan.
"Pemandu teksi hanya boleh mengambil penumpang di tempat yang dibenarkan tanpa perlu menawarkan khidmat mereka atau menetapkan harga tambang terlebih dahulu. Turut dilarang adalah kegiatan 'kereta sapu'," jelas beliau.
Katanya, beberapa lokasi yang kerap menjadi tumpuan ulat teksi adalah di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang serta KLCC, selain lokasi sentral pengangkutan awam seperti KL Sentral dan TBS.
Bagi ulat tiket yang mensasarkan penumpang bas, mereka menjadikan penumpang yang baru tiba di terminal sebagai sasaran terutamanya bas yang tiba pada awal pagi.
Mereka sepatutnya menunggu di bahagian teksi tetapi mereka masuk untuk mencari pelanggan dan akan menetapkan harga terlebih dahulu untuk destinasi dikehendaki penumpang.
Katanya, kedua-dua individu yang ditahan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Sumber : PKPP: JPJ pantau ulat tiket, ulat teksi
0 Comments