Suami isteri didakwa seleweng dana

KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif sebuah yayasan amal, Yayasan Nurul Yaqeen (YNY), didakwa bersama suaminya di Mahkamah Sesyen sini, hari ini masing-masing atas tiga dan 20 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yayasan itu berjumlah RM658,769.19.

Mimi Khairani Baharudin, 35, dan suaminya, Mohd Shaufik Ariffin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mimi Khairani yang hamil lima bulan, menghadapi tiga pertuduhan manakala suaminya didakwa atas 20 pertuduhan.

Pasangan itu didakwa secara bersama atas tiga pertuduhan menggunakan RM274,408 iaitu hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan milik mereka antara Disember 2012 hingga Mei 2015 mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan dilakukan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Mohd Shaufik yang bekerja sebagai kerani akaun turut didakwa atas 17 lagi pertuduhan melupus, memindah dan menerima RM429,960.66 daripada akaun simpanan miliknya antara Januari 2015 hingga Disember 2018 mengikut subseksyen sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad, Medan MARA dan Maybank Berhad Pandan Jaya, di sini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal menawarkan jaminan RM250,000 masing-masing dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Norizawani Ahmad Jalaludin yang mewakili pasangan itu memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan ke atas mereka.

"Akaun bank milik mereka termasuk ahli keluarga Mimi Khairani iaitu ibu dan empat adik-beradiknya telah dibekukan.

"Saya memohon jaminan rendah terhadap semua pertuduhan," katanya.

Mahkamah membenarkan Mimi Khairani diikat jamin RM105,000 manakala RM700,000 bagi Mohd Shaufik, masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, mereka akan didakwa atas beberapa lagi pertuduhan berkaitan kesalahan sama. – BERNAMA



Sumber : Suami isteri didakwa seleweng dana

Post a Comment

0 Comments