PPM rampas rokok seludup

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM34,296.24 dalam serbuan Op Benteng pagi tadi.

Turut dirampas kenderaan Toyota Alphard bernilai RM90,000 dalam serbuan di hadapan sebuah premis di Jalan Penrissen, di sini, jam 8.20 pagi.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim, berkata lima anggota Unit Rondaan Motosikal (URM) yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Alphard menemui 47,240 batang pelbagai jenis rokok putih dan kretek tanpa label kastam.

"Dua lelaki tempatan berumur 30-an dan 60-an ditangkap. Kesalahan dilakukan mengikut Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Balai Polis Kota Sentosa untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, PPM turut merampas rokok seludup bernilai RM29,040 dan Isuzu D-Max bernilai RM80,000 dengan jumlah rampasan keseluruhan RM109,040 di hadapan sebuah premis di Jalan Penrissen.



Sumber : PPM rampas rokok seludup

Post a Comment

0 Comments