Bintang lagenda The Undertaker membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan bahawa dirinya akan bersara daripada industri gusti profesional selepas ini.
Perkara ini didedahkan The Phenom dalam episod terakhir siri The Last Ride yang disiarkan secara eksklusif di WWE Network semalam.
“Saya percaya perlawanan Boneyard adalah antara yang paling hebat dan sengit, dengan mendepani seorang bintang antara yang terbaik dalam sejarah. Dan ia adalah saat paling sempurna untuk mengakhiri kembara karier The Undertaker,” ujarnya merujuk kepada pertarungannya dengan AJ Styles di Wrestlemania April lalu.
Namun dalam masa yang sama, bintang berusia 55 tahun ini tidak menolak untuk kembali pada waktu tertentu sekiranya khidmat baktinya diperlukan oleh majikannya Vince McMahon.
Dengan nada sedikit emosi, Taker menyatakan bahawa tiada apa lagi yang ingin dikejarnya setelah lebih tiga dekad memperhambakan tubuh dan keringatnya dalam industri ini. Suasana dan corak bergusti era ini juga telah berubah dan biarlah generasi baharu mewarnainya.
Dalam masa yang sama, AJ Styles turut memberi reaksi terhadap pengumuman ini dan berasa amat berbesar hati menjadi “pasangan dansa” terakhir Taker.
Tidak dinafikan, melalui siri pendedahan demi pendedahan yang dipertontonkan kepada WWE Universe dalam siri dokumentari The Last Ride, Undertaker sepanjang tiga tahun terakhir ini dilihat begitu memaksa dirinya untuk beraksi biarpun fizikalnya telah memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya untuk dirinya menggantung but.
Namun demi menyajikan persembahan terbaik buat para peminat yang telah menyokong perjalanan kariernya dari awal hingga kini, Taker atau nama sebenarnya Mark William Callaway menggagahkan dirinya untuk terus berjuang di pentas WWE.
Jika benarlah bahawa Undertaker benar-benar akan bersara selepas ini, maka sudah sampailah masanya untuk The Deadman dimasukkan ke dalam senarai Hall Of Fame WWE dan segala pengalamannya selama lebih tiga dekad sebagai pemain utama dalam industri mungkin boleh dicurahkan kepada generasi-generasi penggusti baharu di mana Taker boleh menggalas peranan sebagai jurulatih dan mentor di Pusat Pembangunan Bakat WWE (Performance Centre).
Sepanjang kariernya, Undertaker telah bergelar Juara WWE sebanyak 4 kali, Juara Heavyweight Dunia sebanyak 3 kali dan Juara Beregu WWE sebanyak 3 kali, di samping beberapa kejuaraan lain seperti Juara Hardcore, regu WCW dan tidak ketinggalan menjadi pemenang perlawanan Royal Rumble pada tahun 2007.
via Wowberita
0 Comments