
LIPIS: Sebanyak 446 buah rumah yang berdaftar dengan akaun Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menggunakan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Temau, Padang Tengku berdepan risiko kesihatan berikutan kadar kandungan manganese pada air di sungai itu meningkat melebihi parameter piawaian air mentah biasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, berkata sekiranya masalah itu tidak ditangani dengan sempurna termasuk menaik taraf LRA di situ, penduduk di kedua-dua penempatan iaitu Kampung Sungai Temau dan FELDA Chegar Perah berisiko menggunakan air tercemar.
Katanya, pencemaran manganese termasuk juga kadar kekeruhan air berada pada tahap amat membimbangkan malahan pada tahun lalu lebih 70 kali loji itu terpaksa diberhentikan operasi berikutan Sungai Temau dilaporkan mengalami pencemaran yang amat tinggi selain gangguan bekalan elektrik.
"Pencemaran air Sungai Temau yang mengandungi manganese berikutan aktiviti perlombongan di kawasan hulu sejak sekian lama menjadi rungutan penduduk dan pertubuhan alam sekitar.
"Kita berharap kejadian yang mengancam kesihatan penduduk berdekatan Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang tahun lalu akibat pencemaran berpunca pembuangan sisa toksik tidak terkawal tidak berlaku di sini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak di FELCRA Sungai Temau, Padang Tengku.
Hadir sama, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Fadzilla Saleh; Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Beliau berkata, pejabat DUN Padang Tengku telah mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menguatkuasakan moratorium selama tiga bulan kepada aktiviti perlombongan sehingga isu pencemaran sungai itu selesai di samping usaha perlu dibuat bagi mengurangkan kadar bahan yang berisiko bagi kesihatan pengguna.
Katanya, dalam tempoh moratorium itu, kerja membaik pulih dan penyelenggaraan sungai perlu dilaksanakan oleh pihak yang berwajib supaya menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan Jabatan Kesihatan perlu kerap membuat analisis di LRA Sungai Temau untuk memastikan air di situ selamat digunakan.
"Kegiatan perlombongan yang menjadi punca pencemaran sewajarnya diberhentikan terus termasuklah dengan kaedah mewartakan kawasan tadahan air di kawasan hulu supaya tidak diganggu lagi pada masa akan datang.
"Sebagai alternatif bekalan air yang bersih, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina projek air masyarakat dalam masa terdekat ini selain memperoleh air dari Sungai Rong berdekatan," katanya.
Beliau berkata, pegawai dari KPLB dan Kementerian Kesihatan akan melawat ke Kampung Sungai Temau bagi kerja awal projek bekalan luar bandar sistem alternatif daerah ini khususnya bagi kemudahan bekalan air bersih kepada penduduk kedua buah kampung itu.
Mustapa berkata, untuk tempoh jangka panjang, kerajaan perlu membina sebuah loji baharu dengan menyedut air daripada Sungai Tanum yang terletak dalam rizab Taman Negara.
"Loji baharu dengan kos projek antara RM50 juta hingga RM60 juta sekiranya dapat dibina mampu menampung jumlah kapasiti bekalan air bersih yang banyak bukan sahaja menyelesaikan masalah (bekalan air) untuk penduduk Sungai Temau dan FELDA Chegar Perah malah juga keperluan bagi seluruh Mukim Batu Yon Dua," katanya.
Sumber : Sungai Temau tercemar, undang risiko kesihatan
0 Comments