Tiga ahli Geng Biawak ditahan kes samun

KULIM: Tiga lelaki ahli Geng Biawak, ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian samun dan mencederakan seorang lelaki di tepi jalan berdekatan Taman Bistari di sini, semalam.

Suspek berusia 20 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sekitar daerah itu sekitar jam 3 hingga 3.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 26 tahun sedang bersendirian di lokasi kejadian kira-kira 10 malam.

"Ketika itu, mangsa dikatakan didatangi dua buah motosikal yang dinaiki oleh empat lelaki.

"Seorang daripada mereka, memukul kepala dan badan mangsa menggunakan topi keledar, manakala seorang lagi memijak serta memukul mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, ketika mangsa dipukul, seorang daripada suspek mengambil dompet dan telefon bimbitnya sebelum mereka melarikan diri.

Beliau berkata, akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala, mata, kening dan hidung serta calar dan lebam di anggota badan.

"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan polis masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.



Sumber : Tiga ahli Geng Biawak ditahan kes samun

Post a Comment

0 Comments