Kerajaan benarkan ekspatriat ke luar negara

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan ekspatriat yang berada di Malaysia untuk ke luar negara, namun hanya atas urusan kecemasan atau perubatan sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang diadakan, semalam.

Katanya, kerajaan juga tidak menghalang mana-mana warganegara asing yang berhasrat untuk pulang ke negara asal dengan syarat perjalanan pulang sehala sahaja (one-way).

"Bagi warganegara asing yang tiada dokumen perjalanan, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari, ini.

Sebelum ini, kerajaan tidak membenarkan individu bukan warganegara untuk pulang ke negara masing-masing dan tiada pelawat dibenarkan masuk kecuali rakyat Malaysia.

Namun, pada Khamis lalu, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan perubatan membabitkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU).

Beliau berkata, kebenaran itu tertakluk dalam fasa pertama Fasa 1A dan 1B yang terpakai dalam tempoh PKPP dan sekatan perjalanan antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.

Kebenaran bagi Fasa 1A itu hanya bagi perjalanan ke Malaysia melalui laluan udara sahaja dengan seorang penjaga dibenarkan untuk dibawa bersama.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata menerusi mesyuarat yang sama, kerajaan turut membenarkan kru warganegara asing untuk bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan bagi memastikan bekalan ikan di dalam negara ini mencukupi.

"Bagaimanapun, warganegara asing berkenaan perlu mendapatkan kebenaran keluar negara daripada kerajaan masing-masing terlebih dahulu.

Mereka perlu memohon Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin wajib 14 hari.

"Pihak majikan juga perlu menyediakan tempat tinggal bagi kru warganegara asing berkenaan," katanya.



Sumber : Kerajaan benarkan ekspatriat ke luar negara

Post a Comment

0 Comments