Zamrose dilantik Panglima Tentera Darat ke-28

KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-28, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bakal bersara wajib pada November depan.

Pelantikan Zamrose memegang jawatan nombor satu dalam pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Sel Perhubungan Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM mengalu-alukan Zamrose menerajui kepemimpinan TDM.

Zamrose dilahirkan pada 22 September 1962 di Seremban, Negeri Sembilan, serta memulakan kerjaya dengan menyertai latihan Pegawai Kadet pada 1980 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 24 Januari 1981.

Sepanjang tempoh 39 tahun perkhidmatan, setakat ini, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dalam TDM dengan jawatan terakhir sebelum ini ialah Panglima Medan Timur.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah pula adalah anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak.

Kerjaya ketenteraan beliau bermula dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet dan telah dipilih mengikuti latihan di Officer Cadet School, Portsea, Australia, sebelum ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 11 Disember 1981 sebagai Ketua Platun serta berkhidmat di Batalion Ke-25 RAMD.

Sepanjang tempoh perkhidmatan selama 40 tahun dua bulan dalam TDM, beliau menyandang pelbagai jawatan penting dan berpengalaman terbabit secara langsung memerangi ancaman komunis serta melaksanakan tugas pemerintahan, staf dan jurulatih.

Yang turut hadir pada majlis hari ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad. – BERNAMA



Sumber : Zamrose dilantik Panglima Tentera Darat ke-28

Post a Comment

0 Comments