Schumacher jalani pembedahan lagi

LONDON: Legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher dijadual akan menjalani pembedahan stem cell terbaru dalam masa terdekat selepas lebih enam tahun ikon dari Jerman itu mengalami insiden ngeri ketika sedang meluncur salji.

Laporan media di Itali berkata, Dr Philippe Mencasche - seorang profesor dan pakar kardio yang melakukan pembedahan ke atas Schumacher sebelum ini - bakal melakukan pembedahan ke atasnya dalam masa terdekat.

Pakar bedah saraf, Dr Nicola Acciari berkata, Schumacher menderita 'osteoporosis' dan 'atrofi otot' kerana tidak mampu bergerak sejak insiden ngeri di Pergunungan Alps pada 2013.

Acciari berkata: "Tumpuan utama untuk membina semula sistem saraf Michael.

"Susulan itu, ia menjadi sebab utama kenapa Menasche - pelopor dalam pembedahan stem cell - dilaporkan perlu melakukan pembedahan stem cell terhadap juara dunia F1 tujuh kali itu."

Mengulas lanjut mengenai pembedahan itu, Acciari berkata: "Dalam tempoh 20 tahun ini, sains sudah berkembang pesat dengan rawatan stem cell. Namun ia tidak terlalu banyak berubah kerana kita masih belum tahu sepenuhnya mengenai otak manusia.

"Kami tidak boleh mengungkapkan apa-apa mengenai keputusan yang akan terhasil nanti."

Schumacher yang memenangi 91 Grand Prix ketika karier gemilangnya, menjalani pembedahan stem cell pertamanya pada penghujung 2019 di Paris. Pembedahan itu dilakukan Menasche.

Bulan lalu, bekas rakan sepasukannya, Felipe Massa berkata, legenda F1 itu kekal berada dalam 'situasi sukar'.

"Saya tahu bagaimana keadaan dia, saya mempunyai maklumat. Hubungan saya dengannya sentiasa rapat. Hanya kurang sedikit dengan isterinya Corinna kerana dia tidak begitu banyak mengikuti perlumbaan.

"Namun saya fikir, perkara utama mengenai semua perkara ini adalah untuk kita mengetahui situasinya tidak berada dalam keadaan yang mudah. Dia berada dalam fasa sukar tetapi kita perlu menghormatinya dan juga keluarganya," katanya. - Agensi



Sumber : Schumacher jalani pembedahan lagi

Post a Comment

0 Comments