17 dikompaun abai penjarakan sosial, SOP

KUCHING : Polis mula meningkatkan pemeriksaan bagi mengesan orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial bagi mencegah penularan COVID-19 di bandar raya ini.

Tindakan itu diambil berikutan peningkatan semula kes positif COVID-19 di Kuching yang kini mencecah 38 orang dalam tempoh lapan hari, sejak 15 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, berkata dalam tempoh dua hari sejak semalam, seramai 17 orang dikompaun kerana mengabaikan SOP.

Beliau berkata, mereka dikompaun oleh pasukan petugas khas dan pasukan pemantauan Balai Polis Sekama serta Balai Polis Bintawa bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BJSJK) Kuching.

"Seramai 17 pelanggan dan pengusaha premis yang terdiri daripada 15 lelaki dan 2 wanita dikompaun dalam dua pemeriksaan semalam dan hari ini.

"Pemeriksaan membabitkan sebuah kedai makan di Jalan Pending, kira-kira jam 11.10 malam tadi dan kedai makan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Bormill Commercial Centre pada jam 10.10 pagi tadi.

"Pasukan petugas khas dan pemantauan mendapati pelanggan tidak menghiraukan arahan penjarakan sosial seperti disarankan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, sebelum ini polis mengambil pendekatan memberi amaran kepada pelanggan dan juga pengusaha premis yang didapati mengabaikan penjarakan sosial.

"Sekarang, kami tidak lagi memberi amaran kerana orang awam semakin leka dan semakin ramai yang tidak mengikuti SOP ditetapkan bagi mencegah peningkatan semula jangkitan COVID-19 di bandar ini," katanya.



Sumber : 17 dikompaun abai penjarakan sosial, SOP

Post a Comment

0 Comments