PADANG BESAR: Dua anggota polis cedera apabila kenderaan dinaiki mereka, dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki disyaki penyeludup ketum, di FELDA Mata Ayer, di sini, hari ini.
Insiden kira-kira jam 12.30 tengah hari berlaku ketika anggota polis terbabit sedang bertugas mengiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, yang melakukan lawatan sehari ke negeri ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, berkata ketika kejadian, suspek berusia 43 tahun sedang dikejar anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pacuan empat roda dipandu suspek berusaha melarikan diri itu kemudian merempuh motosikal berkuasa tinggi dan kereta peronda polis dinaiki dua anggota terbabit yang sedang mengiringi rombongan Nancy dari belakang kenderaan VIP.
"Terdahulu, suspek disyaki dalam perjalanan ke tembok sempadan sebelum terserempak dengan pasukan keselamatan yang sedang melakukan rondaan.
"Anggota PGA bertindak mengejar sebelum kenderaan suspek bertembung dengan rombongan Menteri yang melakukan lawatan di FELDA Mata Ayer pada ketika itu.
"Sejurus perlanggaran itu, suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui lebih 570 kilogram daun ketum di dalam pacuan empat roda terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan dua anggota polis berkenaan mengalami kecederaan ringan.
"Susulan itu, kedua-dua anggota polis terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
"Suspek yang juga warga tempatan dan memiliki rekod lampau, akan direman dalam masa terdekat bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber : 2 anggota polis cedera dirempuh penyeludup ketum
0 Comments