ADUN Lembah Jaya menang SSP RM1 Juta

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha tidak menyangka akan memenangi cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi Jun.

Kemenangan itu membolehkan beliau yang juga bekas Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta.

Menurutnya, beliau mengetahui memenangi cabutan itu selepas dihubungi pegawai BSN.

"Saya tidak menyangka nama dan nombor siri SSP saya terpilih dan rasa amat bersyukur, Alhamdulillah itu adalah rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Kali pertama saya membeli SSP pada awal tahun lalu berjumlah RM3,000. Sebelum ini, saya ada juga tunggu cabutan pada penghujung tahun tapi belum ada rezeki lagi dan tidak sangka pula cabutan bulan lalu menyebelahi saya," katanya selepas melancarkan Nation Of Women (NOW) peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Haniza berkata, beliau juga menggalakkan orang ramai membuat pembelian SSP untuk simpanan yang lebih menguntungkan demi masa depan.

"Beli SSP tidak merugikan sebaliknya ia juga boleh dijadikan sebagai suatu simpanan masa depan,," katanya.

Terdahulu, cabutan bagi Jun dikendalikan secara langsung dalam Facebook BSN pada 4 Julai lalu.

BSN menerusi SSP menyediakan hadiah kira-kira RM2 juta sebulan kepada pelanggannya sebagai galakan menabung dalam SSP.



Sumber : ADUN Lembah Jaya menang SSP RM1 Juta

Post a Comment

0 Comments