LONDON: Wolves bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk mara ke kelompok enam teratas Liga Perdana sebentar tadi dengan menewaskan Everton 3-0 di Molineux.
Penalti Raul Jimenez dan tandukan Leander Dendoncker masing-masing pada setiap babak menyukarkan Everton sebelum Diogo Jota menewaskan Jordan Pickford di penjuru 16 minit sebelum tamat.
Kemenangan meletakkan skuad kendalian Nuno Espirito Santo kembali di depan Sheffield United di tangga keenam dan hanya empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Leicester yang akan berdepan Bournemouth awal pagi esok.
Kedudukan kelima juga sudah baik untuk Liga Juara-Juara musim depan sekiranya rayuan Manchester City terhadap penggantungan dua musim daripada saingan Eropah kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Isnin gagal.
Sekiranya Wolves menang dua perlawanan berikutnya berdepan Burnley dan Crystal Palace, mereka boleh merampas kedudukan ke Liga Juara-Juara daripada Chelsea ketika mereka akan berkunjung ke Stamford Bridge pada hari terakhir musim ini. - AFP
Sumber : Wolves benam Everton
0 Comments