Malaysia, Singapura akan teruskan kerjasama, komited selesai isu dua hala

KUALA LUMPUR: Kerjasama berterusan Malaysia dan Singapura akan menguntungkan rakyat kedua-dua negara membabitkan pertumbuhan ekonomi, keamanan dan kemakmuran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri yang menghubungi rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong bagi mengucapkan tahniah selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) kelmarin, juga yakin hubungan dua hala sedia ada antara negara berjiran itu akan terus berkembang di bawah kepimpinan Hsien Loong sebagai Perdana Menteri.

"Sebentar tadi saya membuat panggilan telefon kepada Perdana Menteri Singapura (Hsien Loong) bagi mengucapkan tahniah selepas Parti pimpinan beliau iaitu PAP memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung kelmarin.

"Sebagai jiran dan rakan kongsi terdekat di ASEAN, kerjasama berterusan antara Malaysia dan Singapura tentunya akan menguntungkan rakyat kedua-dua negara dari segi pertumbuhan ekonomi, keamanan dan kemakmuran," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat panggilan telefon kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi mengucapkan tahniah selepas Parti pimpinan beliau iaitu PAP memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung kelmarin. - Foto FB Muhyiddin Yassin

Muhyiddin berkata, berhubung isu dua hala yang belum selesai kedua-dua negara perlu terus bersepakat dan positif dalam mencari penyelesaian dengan berpaksikan kepada kepentingan bersama.

"Kami juga menekankan pentingnya setiap masalah dan isu diselesaikan secara damai, malah sepakat bahawa ia akan menjadi asas dan panduan dalam apa juga rundingan yang dilakukan pada masa kini dan akan datang.

"Ini bagi memelihara hubungan erat dan penting antara Malaysia dan Singapura yang telah sekian lama terjalin," katanya.

Dalam perbualan telefon itu, beliau turut membangkitkan mengenai perbincangan yang berlangsung sebelum ini antara pegawai kedua-dua negara berhubung Laluan Hijau Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) antara Malaysia dan Singapura.

Perdana Menteri turut menyatakan harapan Malaysia untuk melihat kedua-dua inisiatif yang difahamkan berada di peringkat akhir perbincangan itu dapat dimuktamadkan serta dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Kami juga berbincang tentang Projek Sistem Transit Rapid (RTS) membabitkan Johor Bahru-Singapura dan yakin perbincangan aktif yang sedang berlangsung antara pegawai kedua-dua negara akan dapat memuktamadkan perjanjian dua hala dalam masa terdekat.

"Saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Singapura kerana bersetuju melanjutkan tempoh penggantungan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dari 1 Jun hingga 31 Disember ini tanpa sebarang kos dan penalti kepada Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat panggilan telefon kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi mengucapkan tahniah selepas Parti pimpinan beliau iaitu PAP memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung kelmarin. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat panggilan telefon kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi mengucapkan tahniah selepas Parti pimpinan beliau iaitu PAP memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung kelmarin. - Foto FB Muhyiddin Yassin

"Ini amat signifikan kepada cerminan hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu juga menyatakan komitmen untuk segera bertemu bagi membincangkan pelbagai perkara sebaik sahaja situasi pandemik COVID-19 bertambah baik bagi kedua-dua negara.

Sumber : Malaysia, Singapura akan teruskan kerjasama, komited selesai isu dua hala

Post a Comment

0 Comments