
JAKARTA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa Indonesia melakukan lebih banyak 'polymerase chain reaction' (PCR) ke atas orang ramai yang disyaki dijangkiti COVID-19.
Ia berikutan jumlah kematian luar biasa tinggi dikesan dalam kalangan pesakit di bawah pemantauan (PDP) dan individu di bawah pemerhatian (ODP) di negara itu.
WHO mengakui Indonesia berjaya meningkatkan keupayaan ujian PCR, namun kebanyakannya hanya dilakukan ke atas pesakit positif COVID-19, seperti disyaratkan pertubuhan terbabit sebelum ini.
Agensi kesihatan dunia itu meminda garis panduan terbabit lebih sebulan lalu, selepas mengkaji semula kriteria membenarkan pesakit keluar hospital, dalam siri terbaru panduan yang dilancarkan 27 Mei lalu.
"Sehubungan itu, semua individu disyaki dijangkiti seharusnya menjalani ujian PCR berbanding hanya sekadar menjalani pemeriksaan susulan sebelum dibenarkan keluar," kata WHO dalam laporan semasa Indonesia pada 8 Julai lalu.
Di bawah garis panduan baharu itu, pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital tidak lagi perlu menghasilkan keputusan negatif ujian PCR bagi dua minggu berturut-turut sebelum dibenarkan keluar.
Setakat 10 Julai lalu, Indonesia menjalankan 23,609 ujian dan menguji 9,388 individu baharu atau secara purata, menguji sekitar 2,213 individu bagi setiap sejuta penduduk.
Memetik kenyataan pakar epidemiologi di Universiti Indonesia, Pandu Riono, WHO menasihatkan Gabenor Jakarta, Jawa Barat dan beberapa bandar lain untuk menggandakan pelaksanaan ujian PCR.
Ia bertujuan mendapatkan pemahaman lebih jelas berhubung penularan COVID-19 di negara itu supaya langkah pencegahan dan rawatan lebih berkesan dapat dirumuskan. - AGENSI
Sumber : WHO gesa Indonesia laksana lebih banyak ujian PCR
0 Comments