LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui awal pagi tadi bahawa Sergio Aguero tidak akan cergas bagi pertembungan Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid.
Skuad kendalian Guardiola akan berdepan Real pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir pada 7 Ogos ketika mereka cuba mempertahankan kelebihan 2-1 selepas saingan pertama di Sepanyol.
Aguero diketepikan sejak 22 Jun kerana kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan di Barcelona.
Awal minggu ini Guardiola meningkatkan harapan bahawa penjaring terbanyak sepanjang zaman City boleh kembali pada pertembungan di Stadium Etihad.
Namun selepas kemenangan 5-0 City mengatasi Norwich pada hari terakhir musim Liga Perdana, Guardiola tidak yakin penyerang Argentina itu boleh beraksi menentang juara Sepanyol itu.
"Saya tidak rasa dia boleh bermain," kata Guardiola.
Aguero sudah meledak 23 kali dalam semua kejohanan musim ini, namun Gabriel Jesus menggantikan pemain Argentina sejak beberapa minggu ini, menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan terakhir, termasuk gol pembukaan menentang Norwich.
City tidak pernah melepasi separuh akhir Liga Juara-Juara tetapi David Silva berharap akan menamatkan karier selama 10 tahun di kelab itu dengan melengkap medal kemenangan. - AFP
Sumber : Aguero belum sedia hadapi Real
0 Comments