SUNGAI PETANI – Kegembiraan seorang remaja perempuan yang baru diterima bekerja di sebuah kilang, di sini tidak bertahan lama apabila dia dan kakaknya maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Layar, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.40 tengah hari itu, motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki dua beradik iaitu Aliya Bashiroh Nasir, 18; dan kakaknya, Nurul Natasha, 23, berlanggar dengan kereta jenis Proton Saga.
Insiden terbabit dipercayai berlaku ketika lampu isyarat di persimpangan tersebut rosak.
Kedua-dua mangsa sebelum ini cedera parah pada kepala dan dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), sebelum Aliya Bashiroh menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12 tengah malam tadi diikuti kakaknya kira-kira pukul 9 pagi ini.
Pemandu Proton Saga yang merupakan guru wanita berusia 54 tahun itu pula cedera pada bahagian mukanya.
Sementara itu abang ipar mangsa, Zulkhamil Ali, 35, berkata, berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai di sini dari sebuah bank.
“Aliya sangat gembira kerana dia baru dapat kerja dan arwah sebenarnya pergi ke bank untuk buat kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi urusan pembayaran gaji yang akan diperoleh nanti.
“Tidak sangka arwah yang turut berniat untuk bantu ibunya yang merupakan seorang suri rumah tidak sempat menikmati gaji pertama. Lebih tragis, kakaknya juga ‘pergi’ bersama,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai hari ini.
Katanya, pihak keluarga juga terkilan dengan kejadian kerana kemalangan dipercayai berlaku akibat lampu isyarat rosak.
“Saya dan keluarga bercadang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan yang tidak menyelenggara lampu isyarat itu dengan baik sehingga meragut nyawa mereka dalam satu masa,” ujarnya.
Dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Fatimah di Kampung Sungai Pial, di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku semasa motosikal dinaiki mangsa dari arah Sungai Layar menghala Semeling, manakala kereta Proton Saga dari arah Sungai Jagung ke Laguna Merbok.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan tidak berhenti dan memperlahankan kenderaan ketika melalui lampu isyarat rosak lalu berlaku perlanggaran di kawasan tengah lampu isyarat,” katanya.
Tambahnya, pihaknya telah mendapatkan keterangan daripada pemandu Proton Saga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN
The post Dua beradik maut kemalangan angkara lampu isyarat rosak first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments