Aspek kerahsiaan kaedah e-undi masih diteliti

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan jika cadangan menggunakan pengundian secara elektronik (e-undi) pasca COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata buat masa ini SPR masih mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara bagi meneliti kaedah pengundian itu.

"Penggunaan kaedah ini membabitkan beberapa cabaran baharu berkaitan dengan isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

"Dalam hal ini, SPR masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan. Justeru itu, SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan cadangan mengaplikasikan kaedah e-undi dalam pilihan raya sebagai alternatif kepada kaedah konvensional pasca COVID-19.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menafikan banyak negara sudah melaksanakan kaedah e-undi antaranya Estonia, Brazil, India dan Amerika Syarikat (AS).

"Walaupun banyak negara sudah melaksanakan kaedah itu, laporan menunjukkan sistem e-undi yang dilaksanakan di negara berkenaan, terpaksa dikaji semula dan dibuat beberapa penambahbaikan.

"Akhirnya ada negara kembali kepada sistem manual. Banyak perkara menyebabkan keputusan pilihan raya dipersoalkan dan ianya terbukti sistem ini tidak begitu efektif," katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, kaedah sedia ada akan diteruskan dengan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan adil dan telus, SPR akan meneruskan pelaksanaan penambahbaikan terhadap proses pilihan raya seperti yang dilaksanakan dalam pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Pada masa ini proses perjalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut Garis Panduan Pencegahan COVID-19 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawahAkta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya.



Sumber : Aspek kerahsiaan kaedah e-undi masih diteliti

Post a Comment

0 Comments