Guna peruntukan RM22.5 juta

KUALA LUMPUR: Tiada peruntukan tambahan akan diberikan untuk program Road to Tokyo (RTT), sebaliknya dana sedia ada akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi persiapan atlet menghadapi Sukan Olimpik, tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata penstrukturan semula program RTT tertumpu kepada penyusunan semula program latihan dan pertandingan yang terjejas ekoran penundaan atau pembatalan kejohanan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

"Saya sudah minta semua pemegang taruh seperti MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan persatuan sukan kebangsaan dengan kerjasama MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) mengatur semula menggunakan bajet yang diluluskan sebelum ini.

"Tiada penambahan peruntukan tetapi yang lebih utama mengoptimumkan sumber yang ada untuk memaksimumkan persiapan buat atlet negara yang banyak terjejas sepanjang empat bulan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Program RTT adalah keutamaan kita dan sudah tentu kita mahukan semua atlet, sama ada yang sudah layak atau dalam proses melayakkan diri, mendapat peluang dan persiapan yang terbaik," katanya kepada BH Sukan semalam.

Reezal berkata demikian ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai penyusunan semula program RTT bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun depan.

Semalam, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, beliau memberitahu akan menyusun semula program RTT dengan tumpuan kepada penyertaan atlet ke kejohanan kelayakan yang menawarkan kutipan mata.

Awal tahun ini, kementerian memperuntukkan RM22.5 juta sebagai persiapan atlet ke temasya Sukan Olimpik Tokyo yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos tahun ini, sebelum ia ditunda ke tahun depan susulan pandemik COVID-19.

Tarikh baharu menyaksikan temasya itu akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Setakat ini, 12 atlet sudah berjaya melayakkan diri Tokyo manakala 23 lagi sedang berusaha untuk layak.



Sumber : Guna peruntukan RM22.5 juta

Post a Comment

0 Comments