Perbicaraan kes solar Rosmah dilapangkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, melapangkan perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini berhubung projek tenaga solar di 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu, selepas dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili Rosmah tidak sihat.

Terdahulu, hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dengan mendengar keterangan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, iaitu Rayyan Radzwill Abdullah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk menyambung perbicaraan. Rosmah berdepan tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60.

Wang itu sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.



Sumber : Perbicaraan kes solar Rosmah dilapangkan

Post a Comment

0 Comments