
PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 kembali dua angka apabila 13 kes dilaporkan hari ini membabitkan lapan kes import dan lima kes penularan tempatan menjadikan jumlah kumulatif kes baharu sebanyak 8,696 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes import ia membabitkan enam warganegara Malaysia dan dua pemastautin tetap.
"Daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes membabitkan warganegara dan dua kes membabitkan warga asing.
"Perincian kes penularan tempatan ialah dua kes dikesan di Sarawak menerusi saringan dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan satu kes menerusi saringan sebelum masuk kerja.
"Bagi kes positif dalam kalangan warga asing pula, dua kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran balik ke negara asal," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 12 kes pulih dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,511 kes atau 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dan jumlahnya kekal 121 kes.
Sumber : COVID-19: Kes baharu kembali dua angka
0 Comments