PUTRAJAYA: Satu kluster baharu dinamakan Kluster Mambong dikesan membabitkan sebuah syarikat di Sarawak yang telah menjangkiti dua individu, setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster aktif di daerah Samarahan dan Kuching itu dikesan selepas saringan kesihatan dijalankan terhadap kes kedua, iaitu pekerja di syarikat terbabit.
"Kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes 8,732, sudah mengalami gejala sejak 12 Julai lalu, namun hanya dikesan positif COVID-19 dua hari kemudian di sebuah pusat perubatan.
"Susulan itu, 70 individu kontak rapat sudah dikenal pasti dan disaring, setakat ini.
"Daripada jumlah itu, 68 individu masih menunggu keputusan, manakala dua lagi individu positif COVID-19 membabitkan masing-masing seorang rakyat Malaysia dan warga asing.
"Langkah pencegahan dan proses nyah kuman sudah dijalankan di premis syarikat terbabit, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.
Setakat ini, Dr Noor Hisham berkata, masih ada 14 kluster COVID-19 yang masih aktif, termasuk Kluster Mambong.
Sumber : COVID-19: KKM kesan Kluster Mambong di Sarawak
0 Comments