
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan ujian pengesanan COVID-19 secara berterusan bagi mengesan kes baharu dalam kalangan komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara kaedah yang dilakukan termasuklah melalui sistem survelan klinikal seperti pengesanan kes dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
"Sehingga hari ini, sebanyak 20,897 sampel sudah diambil dan 79 kes dikesan positif COVID-19 iaitu kadar positif adalah 0.38 peratus.
"Kadar positif ini adalah kurang daripada satu peratus bermakna kebolehjangkitan adalah rendah di Malaysia.
"Meskipun rendah, sistem survelan di Malaysia masih dapat mengesan kes-kes ini kerana ia mempunyai kapasiti dan keupayaan pengesanan yang baik," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata petugas kesihatan dalam sektor awam dan swasta akan terus diberi latihan dan maklumat terkini untuk mengesan serta mengurus kes yang disyaki COVID-19.
"Misalnya pesakit Influenza (ILI) dan SARI mengikut garis panduan terkini yang dibangunkan daripada maklumat terkini pelbagai sumber antarabangsa dan tempatan untuk kegunaan di dalam Malaysia," katanya.
Sumber : COVID-19: KKM terus jalankan pengesanan kes baharu
0 Comments