
MUMBAI: Hab kewangan India, Mumbai membuka empat hospital lapangan baharu bagi merawat pesakit COVID-19, termasuk sebuah daripadanya di trek lumba kuda selepas angka kematian akibat virus itu meningkat melepasi 20,000 orang.
Mumbai, yang mencatatkan satu perempat daripada jumlah kematian akibat COID-19 di India, merekodkan peningkatan mendadak jangkitan sehingga memaksa pihak berkuasa membina kemudahan hospital dan pusat kuarantin.
Sekolah, hotel, planetarium dan stadium diguna pakai bagi tujuan itu dan terbaru, adalah empat hospital lapangan termasuk satu di trek lumba kuda Mahalaxmi yang menempatkan 700 katil.
Kemudahan baharu berkenaan menyediakan tambahan 3,500 katil di bandar dengan 20 juta penduduk itu, di mana hospital dipenuhi ratusan pesakit setiap hari.
Pekerja kesihatan sebelum ini mengadu mengenai kekurangan kakitangan dengan beberapa doktor dan jururawat kanan mengelak bertugas di barisan hadapan kerana bimbang dijangkiti virus itu akibat faktor usia serta penyakit lain seperti diabetes.
Jurucakap kerajaan negeri di Maharashtra berkata bantuan perubatan yang diperlukan akan tersedia di empat pusat rawatan baharu itu.
Hospital di kawasan berpenduduk padat seperti Mumbai dan Delhi sedang bergelut bagi menangani pandemik COVID-19 dengan jumlah jangkitan di India kini melebihi 720,000 kes termasuk lebih 20,000 kematian, yang ketiga tertinggi di dunia. - AFP
Sumber : COVID-19: Mumbai bina empat hospital lapangan baharu
0 Comments