German sudah tiada dalam perancangan Ishak

KUALA TERENGGANU: Pengendali PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad tetap positif biarpun latihan yang mula dikendalikan sejak tiga hari lalu tanpa kelibat penyerang import, Antonio Timothy German.

Ishak berkata, bekas penyerang Selangor kelahiran England itu masih berada di negaranya dan tidak pasti tarikh sebenar akan kembali menjalani latihan bersama kem pasukan.

Katanya jika pemain berkenaan masih gagal melaporkan diri dalam masa terdekat, beliau tiada pilihan lain dan terpaksa melakukan rombakan di posisi penyerang.

"Mengenai kelibat pemain itu (Antonio German) saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya jika dia masih gagal melaporkan diri dalam masa terdekat.

"Buat masa ini saya anggap pemain itu sudah tidak ada dalam perancangan pasukan kerana kami tidak boleh tunggu lagi, lagipun dengan tempoh kira-kira sebulan lagi sebelum liga bersambung semula pada 26 Ogos ini agak sukar jika pemain itu hadir lewat.

"Sekarang saya tiada pilihan lain melainkan perlu melakukan perubahan di posisi penyerang dengan berbaki tujuh perlawanan lagi kerana impian kami mahu kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan," kata Ishak.

Mengenai latihan di padang Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, bekas pertahanan Terengganu itu kagum dengan komitmen semua pemainnya yang bersemangat dan teruja untuk kembali bangkit daripada kedudukan tercorot liga.

"Bagi memastikan mereka bersedia, kami sudah aturkan tiga aksi persahabatan bertemu Melaka pada 8 Ogos di Stadium Hang Jebat, Selangor II pada 12 Ogos di Padang SUK Shah Alam dan Negeri Sembilan pada 19 Ogos di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi," katanya.



Sumber : German sudah tiada dalam perancangan Ishak

Post a Comment

0 Comments