
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, meminta kerajaan menyatakan sebab sebenar penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH), Tabung Haji Plantations Sdn Bhd (THP).
Ahli Parlimen Parit Buntar dari AMANAH itu berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary, sepatutnya menjelaskan sebab sebenar aset THP terpaksa dijual yang didakwanya kerana syarikat itu dibebani hutang sejak 2015.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menjual beberapa aset THP kerana syarikat itu mencatatkan hutang sebanyak RM1.24 bilion pada 2018 dan RM1.29 bilion pada 2019.
"(Timbalan) Menteri tidak sepatutnya menggunakan jalur perkauman dalam jawapannya di Dewan Rakyat, apabila menyebut syarikat yang akan membeli aset THP, Tamaco Plantation Sdn Bhd, kononnya dikuasai bangsa Cina. Ini rasis dan bahaya.
"Hakikatnya, kedudukan kewangan THP sudah kritikal dan dibebani hutang sejak 2015, hingga mereka terpaksa jual dua anak syarikat ketika itu, TH Bakti Sdn Bhd sebanyak RM16.3 juta dan THP Gemas Sdn Bhd sebanyak RM154.1 juta.
"Saya boleh gunakan isu perkauman dengan bangkitkan kepada siapa dua syarikat ini dijual, namun saya faham kerana ia adalah transaksi perniagaan bagi meringankan beban hutang THP, namun ia masih tak cukup.
"Kenapa apabila pelaksanaan rasionalisasi untuk selamatkan THP pada 2018 dan 2018 dengan menjual aset atas keperluan sama, jadi isu politik?
"Saya sedih dengan kenyataan Timbalan Menteri yang mewakili portfolio agama yang cuba mempolitikkan isu ini dan mengaitkannya dengan perkauman," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Marzuk ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, antara lain memaklumkan antara aset THP yang dilupuskan ketika pentadbiran PH, adalah membabitkan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisan Mas Sdn Bhd dengan 6,514 hektar ladang, yang dijual kepada syarikat bukan Bumiputera, Tamaco Plantation Sdn Bhd.
Beliau kemudian menyebut senarai lima nama Ahli Lembaga Pengarah Tamaco Plantation Sdn Bhd.
Sumber : Nyatakan sebab sebenar ladang TH Plantations dijual - Mujahid
0 Comments