‘Dulu Sehari Minimum RM600, Tapi Kini..’ – Juruterbang Gigih Tampung Hidup Jadi Penghantar Makanan

Kehidupan ini sememangnya tidak boleh dijangka. Dan yang tidak dijangka itu boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Kita boleh menikmati saat-saat indah dan dengan sekelip mata sahaja, kita mungkin akan jatuh terduduk.

Dan tiada siapa menduga, kesan pandemik Covid-19 telah merubah kehidupan seseorang itu dalam sekelip mata, di seluruh dunia.

Antara yang paling mendapat kesan langsung dari pandemik itu ada industri penerbangan di mana beribu pekerja telah hilang pekerjaan selepas syarikat penerbangan tidak dapat beroperasi.

Jika sebelum ini kisah tular di Thailand apabila seorang juruterbangnya terpaksa mencari rezeki sebagai penghantar makanan, siapa sangka nasib sama dialami oleh seorang juruterbang di negara kita.

Kapten pesawat, Khairul Anwar Ajid, 40, mengakui kini memilih kerjaya sebagai penghantar makanan apabila sektor penerbangan terjejas berikutan sekatan pergerakan.

Khairul Anwar berkata, dia terpaksa bercuti tanpa gaji dan kesukaran mendapatkan pekerjaan menyebabkan dia memilih kerjaya penghantar makanan sepenuh masa.

Menurutnya, dia menghantar ‘resume’ kepada beberapa syarikat, namun tiada balasan mungkin kerana dia hanya ada kemahiran memandu kapal terbang dan mengajar sahaja.

” Sebelum menceburi dunia penerbangan, saya pernah menjadi pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

” Saya lebih cenderung kepada pekerjaan praktikal berbanding penyelidikan, lagipun bidang penerbangan sudah menjadi minat saya sejak dulu lagi.

” Saya fikir inilah kerjaya yang akan memberikan kelebihan kepada saya dan keluarga, namun takdir Tuhan setelah 10 tahun dalam bidang ini, akhirnya saya terpaksa melepaskan jawatan buat sementara,” katanya yang mengambil cuti tanpa gaji.

Khairul Anwar berkata, dia mengakui kerjaya penghantar makanan lebih mencabar dan berisiko tinggi berbanding mengendalikan pesawat.

Menurutnya, pesawat ada sistem kecemasan khusus di udara manakala menunggang motosikal di jalanan tidak tahu bahaya bakal menimpa.

Dulu sehari sebagai pilot minimum RM600, kini…

” Pendapatan memang jauh beza, dulu sehari minimum RM600, kini setelah meredah hujan lebat dan panas terik baru dapat RM50 hingga RM70.

” Menjadi penghantar makanan sahaja tidak cukup menanggung perbelanjaan diri saya dan keluarga, namun saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah berikan buat masa sekarang.

” Saya dan isteri turut cari duit sampingan dengan menjadi ejen menjual kambing perap dan steak,” katanya.

Menurutnya, dia berharap sektor penerbangan kembali pulih supaya boleh bekerja semula seperti biasa.

Terdahulu, Khairul Anwar berkongsi di Facebook mengenai kerjaya e-hailing dan juruterbang dianggapnya mempunyai banyak persamaan setelah mempunyai pengalaman dalam kedua-dua bidang itu.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments