KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi jaminan tiada masjid atau surau di negeri ini akan melakukan ibadat korban melebihi 10 ekor haiwan sempena Aidiladha.
Pesuruhjayanya, Mat Azmi Arshad, berkata penyembelihan di masjid dan surau di negeri ini antara tiga dan lima ekor haiwan saja.
Beliau berkata, berdasarkan permohonan dikemuka bagi melakukan ibadah korban di masjid dan surau, tiada permintaan jumlah haiwan melebihi 10 ekor.
"Penganjur ibadah korban termasuk yang akan melakukan di kawasan masjid, surau serta kawasan lapang juga sudah diingatkan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP), termasuk jumlah kehadiran tidak melebihi 20 orang serta tidak mengadakan jamuan makan di tapak korban," katanya di sini hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, kerajaan memutuskan mengehadkan jumlah haiwan untuk ibadah korban sempena Aidiladha iaitu tidak lebih daripada 10 ekor bagi masjid dan surau, termasuk lokasi korban yang dibenarkan pejabat agama daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mat Azmi berkata, orang ramai juga tidak dibenarkan berhimpun di tapak korban untuk menunggu pengagihan daging.
Katanya, JHEAT juga mengarahkan jawatankuasa masjid dan surau serta penganjur melantik penyembelih, selain petugas untuk melakukan kerja melapah haiwan korban.
"Syarat pemantuhan SOP ibadah korban antara yang perlu dipatuhi oleh penganjur program korban.
"Pegawai dan anggota JHEAT serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan melakukan pemantauan di semua tempat ibadah korban," katanya.
Beliau berkata, hanya tujuh orang iaitu mereka yang mengambil bahagian dalam ibadah korban dibenarkan berada di kawasan korban.
Sumber : Hanya tiga hingga lima ekor haiwan dikorban
0 Comments