Isu buruh industri perladangan jadi keutamaan - KPPK

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang berusaha menyediakan penyelesaian strategik bagi menyelesaikan isu buruh dalam industri komoditi terutama sawit dan getah di negara ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin, berkata, isu buruh penting dan ia memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

Beliau berkata, adalah perlu untuk industri komoditi di negara ini untuk menepati standard, peraturan dan amalan berkaitan buruh di peringkat antarabangsa.

Katanya, baru-baru ini, industri komoditi telah dikenakan pelbagai tindakan hukuman terutama dari Amerika Syarikat (AS) berdasarkan tuduhan isu buruh.

"Kami menjalankan tugas kami untuk tampil dengan penyelesaian strategik dalam isu ini.

"Ia adalah usaha berterusan kementerian untuk membersihkan tuduhan dan menangani isu buruh yang  menjejaskan sektor komoditi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Invest Malaysia 2020 - Siri Kedua Virtual di sini, hari ini.

Invest Malaysia 2020 - Siri Kedua Virtual dianjurkan Bursa Malaysia Bhd dan CGS-CIMB.



Sumber : Isu buruh industri perladangan jadi keutamaan - KPPK

Post a Comment

0 Comments