ALOR SETAR: Skuad Lang Merah merancang untuk mengadakan empat perlawanan persahabatan bagi mempersiapkan pasukan berdepan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal disambung semula pada 26 Ogos ini.
Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata perlawanan yang dirancang itu membabitkan tiga pasukan dari Lembah Klang manakala satu lagi di kawasan Utara.
"Saya sudah mengemukakan cadangan senarai nama pasukan itu kerana kami perlu melakukan perancangan awal memandangkan semua pasukan lain juga sedang giat melakukan perancangan mereka sendiri pada ketika ini.
"Bagimanapun, kami masih menunggu kelulusan daripada pengurusan KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) dan berharap kelulusan serta pertimbangan segera dari pihak pengurusan pasukan dapat melancarkan perancangan yang penting ini," katanya.
Aidil berkata pasukan Kedah kini berada dalam keadaan baik dan berharap empat perlawanan persahabatan yang dirancang itu dapat memantapkan lagi tahap keupayaan pasukan dalam persiapan sebelum bermulanya liga.
"Kecergasan yang tinggi dan kekuatan mental dari semua pemain sangat diperlukan, tambahan pula bagi menempuhi jadual yang padat termasuk perlawanan ke tempat jauh seperti di Kuantan dan Jengka," katanya.
Sumber : Lang Merah rancang 4 aksi persahabatan
0 Comments