
PUTRAJAYA: Kertas cadangan kenaikan elaun tugasan anggota bomba bantuan daripada RM6 kepada RM8 sejam sudah dilengkapkan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata beliau menjangkakan tambahan peruntukan sebanyak RM11 juta setahun sekiranya cadangan kenaikan elaun itu diluluskan.
Beliau berkata, kerajaan sangat prihatin terhadap masalah rakyat terutama sukarelawan yang bertugas seperti anggota bomba bantuan.
Katanya, menjadi tanggungjawab kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membela nasib anggota bomba bantuan.
"Cadangan kenaikan RM2 sejam itu sekali gus menjadikannya ia kadar sama seperti dinikmati anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Kita bukan tidak berpuas hati atau cemburu dengan pasukan penguatkuasaan lain namun tugas anggota bomba bantuan juga amat berat. Jadi saya berharap kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin prihatin dengan isu ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima penganugerahan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Ismail berkata, sehingga kini, seramai 2,500 anggota bomba bantuan berkhidmat di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata anggota bomba akan meneruskan operasi sanitasi awam khususnya di premis kerajaan susulan kebimbangan kenaikan jumlah kes jangkitan COVID-19 akhir-akhir ini.
Ismail berkata, operasi sanitasi awam dilakukan setiap hari terutama di sekolah serta pihaknya turut melatih pekerja pembersihan di sekolah bagi menggunakan bahan sanitasi.
Sumber : Kenaikan elaun bomba bantuan ke Kabinet dalam masa terdekat
0 Comments