
KUALA LUMPUR: Pengendali pengangkutan awam utama di Malaysia, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dijangka mencatatkan penurunan pendapatan pada 2020, terutama disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nizam Alias, berkata ketika ini ketika ini kumpulan merekodkan hanya 60 peratus operasi penumpang berbanding kebiasaannya ketika sebelum PKP.
Beliau berkata, Prasarana mengakui turut terjejas ketika tempoh PKP, memberikan impak kepada operasi.
"Namun ketika ini, Prasarana sudah mula mencatatkan peningkatan, selepas kumpulan melaksanakan operasi 100 peratus ke atas semua platform pengangkutan awam kami.
"Walaupun terjejas, kami meneruskan komitmen untuk mengembalikan semula keyakinan serta merancakkan semula ekonomi negara.
"Perancangan kami ketika ini adalah menguruskan kos operasi sebaik mungkin selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan operasi kumpulan kekal terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis graduasi program Strategic Prasarana Executive Enhancement and Development Scheme (SPEEDS) di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Muhammad Nizam berkata, walaupun 2020 mencatatkan penurunan pendapatan drastik berbanding 2019, kumpulan optimis inisiatif serta perancangan yang dilaksanakan pihaknya akan membantu memberikan peningkatan pendapatan yang kukuh pada 2021.
Beliau berkata, angka penumpang dan pendapatan akan kembali meningkat, malah berkemungkinan lebih baik daripada yang dicatatkan pada 2019.
Ia, katanya akan turut memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Kumpulan memahami kesukaran yang dihadapi rakyat ketika ini disebabkan COVID-19. Lantaran itu kami membantu mereka dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap," katanya.
Mengenai program SPEEDS, Tajuddin berkata, Prasarana masih kekal mempertahankan pekerja selain terus mengambil bakat baharu yang berpotensi ketika syarikat lain termasuk firma syarikat antarabangsa berhadapan dengan kekangan kewangan sehingga terpaksa mengambil langkah pembuangan pekerja.
Beliau berkata, program SPEEDS yang dilaksanakan sejak 2012, memberi peluang kepada bakat muda membina kerjaya bersama Prasarana.
Sumber : Prasarana jangka pendapatan terkesan susulan PKP
0 Comments